Kanak-kanak Berkeperluan Khas

Standard

1.0              Pendahuluan

Wawasan 2020 adalah merupakan fokus utama Malaysia dalam mencapai impiannya menjadi sebuah negara yang berdaya saing dan maju di mata dunia.  Hasrat tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha yang berterusan agar segala yang diimpikan menjadi realiti dan bukan sekadar impian.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, aspek pendidikan menjadi fokus utama kerajaan agar tidak ada golongan yang ketinggalan dalam perkembangan arus perdana yang  pantas menikut mengikut peredaaran zaman.

2.0             Definisi

2.1              Kanak-kanak Berkeperluan Khas

Menurut Wright (1998), Kanak-kanak khas didefinisikan sebagai kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak biasa dalam aspek ciri-ciri mental, keupayaan sensori, keupayaan komunikasi, tingkah laku sosial, ataupun ciri-ciri fizikal.

Menurut Kirk (1989), kanak-kanak dikategorikan sebagai kanak-kanak khas apabila terdapat keperluan dalam pengubahsuaian program pendidikan. Ini adalah disebabkan oleh faktor permasalahan yang berpunca dari keadaan fizikal dan mental yang ada pada mereka sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menerima pembelajaran seperti kanak-kanak normal. Kanak-kanak ini juga memerlukan penjagaan, pemerhatian dan kaedah pembelajaran yang khusus dalam membentuk dan mendidik sikap serta keperibadian yang bersesuaian dengan persekitaran dan juga masyarakat umumnya.

2.1.1         Defini Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran merupakan kanak-kanak yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak dalam kebolehan – kebolehan yang berikut:

i.            Kebolehan kognitif

ii.          Tingkahlaku social / perkembangan social

iii.         Penguasaan bahasa lisan / pertuturan

iv.         Penguasaan membaca

v.          Kemahiran perkembangan (development skills)

vi.         Kemahiran matematik

2.1.2         Ciri Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran

Terdapat beberapa ciri kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang telah dikenalpasti dalam penerapan kaedah pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak ini;

2.1.2.1   Aspek fizikal

Bentuk badan dan koordinasi motor kanak-kanak dari kategori ini mempunyai banyak perbezaaan daripada kanak-kanak normal. Kanak-kanak yang mempunyai keupayaan mental yang rendah juga mengalami bentuk badan yang lebih kecil juka dibandingkan dengan kanak-kanak yang normal.

2.1.2.2   Aspek intelek

Kanak-kanak yang lahir dengan permasalahan ini mengalami kelewatan dari segi perkembangan pemikiran dan kesukaran untuk memahami dan mengikuti pembelajaran di sekolah.Kesediaan belajar dan keupayaan kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah berbeza. Tahap pencapaian mereka tidak dapat digadingkan dengan pencapaian usia kanak-kanak tersebut.

2.1.2.3  Aspek sosial dan personaliti

Kanak-kanak ini mempunyai tahap pengamatan dan tumpuan yang singkat . Cara berkomunikasi dan tingkahlaku yang ditonjolkan kepada persekitaran tidak seiring seusianya menjadikan kanak-kanak ini mudah berputus asa dan bersikap diluar jangka.

3.0 Faktor Masalah Pembelajaran 

Masalah pembelajaran boleh terjadi disebabkan kecederaan otak, keturunan, ketidakseimbangan biokimia dan persekitaran.

3.1     Kecederaan Otak

Kecederaan otak boleh berlaku sebelum kelahiran bayi di mana ibu yang mengandung mengambil alkohol atau dadah, dijangkiti demam campak atau merokok. Kecederaan otak juga boleh berlaku semasa kelahiran seperti bayi kekurangan oksigen. Selepas kelahiran, kecederaan otak boleh berlaku disebabkan demam panas, hentakan yang kuat pada bahagian kepala akibat kemalangan dan jangkitan seperti meningitis.

3.2     Keturunan

Terdapat banyak kajian menunjukkan, keturunan merupakan salah satu sebab kepada masalah pembelajaran. Penyelidik mendapati bahawa kira-kira 30-50% kanak-kanak menghadapi masalah pembelajaran apabila mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya menghadapi masalah pembelajaran. Ini menunjukkan masalah pembelajaran boleh diwarisi daripada keturunannya.

3.3      Ketidakseimbangan Biokimia

Ketidakseimbangan biokimia juga boleh menyumbang kepada masalah pembelajaran. Ketidakseimbangan bahan kimia dikatakan boleh menjadi punca kepada masalah hiperaktiviti yang boleh mengakibatkan kesukaran memberi tumpuan ke atas kerja sekolah.

3.4      Faktor Persekitaran

Selain kecederaan otak, keturunan dan ketidakseimbangan biokimia, faktor persekitaran juga boleh menjadi penyebab kepada masalah pembelajaran. Persekitaran yang serba kekurangan kerana kemiskinan seperti pemakanan yang tidak seimbang, keadaan rumah yang tidak selesa, persekitaran yang kotor dan bising, hubungan ibu bapa dengan anak-anak tidak mesra atau tidak mencukupi boleh menimbulkan masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak.

Terdapat bukti menunjukkan bahawa kanak-kanak bermasalah yang tidak menerima pengajaran yang sistematik, telah memudaratkan lagi masalah pembelajaran yang dihadapi. Oleh itu, pengajaran yang sistematik patut diaturkan untuk semua pelajar bermasalah pembelajaran.

4.0 Ciri-ciri Pelajar Bermasalah Pembelajaran

Ciri-ciri pelajar bermasalah pembelajaran boleh dibahagikan kepada ciri kognitif, akademik, sosial dan emosi dan tingkah laku.

4.1      Ciri Kognitif

Pelajar bermasalah pembelajaran kebiasaannya lemah dalam pengamatan termasuklah tumpuan, perhatian, ingatan dan pemikiran atau pengolahan. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru atau sukar mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi pembelajaran.

4.2      Ciri Akademik

Ciri akademik berlaku di kalangan pelajar masalah pembelajaran dalam masalah membaca, lisan, tulisan dan matematik. Ramai pelajar masalah pembelajaran menghadapi masalah membaca. Paling nyata ialah kesukaran memahami apa yang dibaca dan kesukaran mengenal pasti perkataan. Istilah yang sering dikaitkan dengan masalah membaca ialah disleksia.

Selain membaca, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam lisan seperti fonologi, morfologi, susunan kata dalam ayat (syntax) dan pragmatik. Pelajar yang lemah dalam lisan gagal memahami perkataan yang di sampaikan sekaligus sukar melibatkan diri dalam perbualan atau interaksi dengan kawan dan sebagainya.

Masalah kemahiran menulis di kalangan pelajar bermasalah pembelajaran ialah kesukaran memegang pen atau penselketika menulis dengan tangan, menulis huruf yang berlainan saiz, kelemahan dalam mengeja, tidak menggunakan tatabahasa yang betul, organisasi perenggan yang tidak teratur dan kurang menggunakan struktur ayat yang kompleks.

Secara umum, pelajar kemahiran menulis pelajar bermasalah pembelajaran adalah lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka yang normal atau biasa. Bagaimana pun, kemahira menulis pelajar bermasalah pembelajaran boleh dipertingkatkan jika intervensi awal dilaksanakan dan kaedah mengajar yang teratur dan sistematik diperkenalkan.

Bidang terakhir di mana pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran untuk belajar ialah matematik. Masalah ini juga boleh di istilahkan sebagai diskalkulia yang merujuk kepada ketidakupayaan dalam kemahiran matematik. Secara umumnya diskalkulia bermakna ketidakupayaan untuk mengira. Antara masalah matematik yang berlaku di kalangan pelajar bermasalah pembelajaran ialah tidak menguasai sepenuhnya dalam pengiraan asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi. Selain itu, pelajar bermasalah pembelajaran sukar membuat anggaran dan pengukuran seperti saiz, nilai, wang, jarak atau cecair.

4.3      Ciri Sosial dan Emosi

Memahami ciri sosial dan emosi pelajar bermasalah pembelajaran adalah sama penting dengan memahami ciri kognitif dan akademik mereka. Bagaimana pelajar bermasalah pembelajaran melihat diri mereka dan orang lain serta bagaimana mereka mahir dalam interaksi sosial secara signifikannya dapat mempengaruhi mereka berjaya dalam pembelajaran. Tambahan pula,kejayaan mereka dalam hidup bergantung kepada kemampuan mereka berinteraksi dengan orang lain secara berkesan.

4.3.1      Kemahiran Sosial yang Lemah

Pelajar yang mempunyai kemahiran sosial yang lemah didapati sukar untuk mencari kawan, diketepikan oleh pelajar lain dan tidak kerap berinteraksi dengan guru. Mereka kurang mempunyai teman-teman dari kalangan kanak-kanak biasa disebabkan mereka tidak berupaya untuk mengetahui kenapa dan bagaimana untuk menjalin serta mengekalkan hubungan. Adakalanya pelajar bermasalah pembelajaran tidak mempunyai kemahiran untuk menolak tekanan rakan sebaya yang negatif serta tidak dapat mengenalpasti model rakan sebaya yang baik untuk ditiru.

Akibatnya, harga-diri (self-esteem) mereka pun rendah yang mungkin disebabkan dengan kekecewaan usaha mereka berinteraksi dengan orang lain. Kadang kala hal ini menyebabkan mereka bertingkah laku negatif dan menyakiti orang lain.

4.3.2 Motivasi

Motivasi merupakan keinginan untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Kebanyakan pelajar bermasalah pembelajaran kurang bermotivasi untuk belajar. Apabila pelajar bermasalah pembelajaran berjaya dalam peperiksaan, mereka menganggap sebagai bernasib baik atau ujian senang, tetapi apabila gagal dalam ujian, mereka menganggap diri mereka bisu (dumb). Keadaan ini menunjukkan betapa lemahnya motivasi mereka.

4.4       Ciri Tingkah Laku

Sebahagian pelajar bermasalah pembelajaran mempunyai masalah sukar memberi tumpuan, mudah terganggu, terlalu aktif dan resah, tidak mengikut arahan dan sebagainya. Istilah yang sering digunakan dalam masalah ini di sebut masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (ADHD). Masalah tingkah laku ini akan mengganggu kelas dan tidak menyenangkan bagi guru, ibu bapa dan pelajar lain. Masalah tingkah laku ini juga boleh mengganggu hubungan sosial dan memberi kesan negatif terhadap penilaian kendiri pelajar.

5.0 Jenis Penaksiran

Untuk mengenal pasti sama ada seorang pelajar itu bermasalah pembelajaran, penaksiran perlu dilakukan. Antara kaedah penaksiran yang digunakan ialah penaksiran formal, penaksiran dalam bilik darjah dan response to intervention (RTI).

5.1 Penaksiran Formal

5.1.1 Ujian Rujukan Norma 

Ujian Rujukan Norma ialah ujian yang mengukur pencapaian seseorang individu untuk dibandingkan dengan pencapaian individu lain dalam sesuatu kumpulan. Ia merupakan suatu ujian yang digunakan untuk menentukan prestasi seseorang individu ke atas sesuatu tugasan supaya pencapaian individu tersebut boleh dibandingkan dengan pencapaian individu lain yang melakukan tugasan yang sama.

5.1.2 Ujian Rujukan Kriteria

Ujian Rujukan Kriteria adalah ujian mengukur pencapaian individu dan dibandingkan dengan kriteria yang telah ditentukan. Contohnya, ujian memandu di mana pelajar perlu menunjukkan kecekapan yg telah ditetapkan sebelum dia diluluskan. Prestasi seseorang itu tidak akan dibandingkan dengan prestasi orang lain. URK ini boleh dibandingkan dengan satu kriteria yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

5.2 Penaksiran dalam Bilik Darjah

5.2.1 Pengukuran Berasaskan Kurikulum (CBM)

Istilah Pengukuran Berasaskan Kurikulum ( Curriculum Base Measurement) difahamkan secara umumnya sebagai penaksiran prestasi pelajar berasaskan kurikulum tempatan. Item yang digunakan dalam penaksiran diambil dari kurikulum sekolah.

CBM digunakan untuk membantu guru menentukan apa yang hendak diajar pada masa akan datang, memudahkan penilaian kemajuan pelajar di mana program penilaian berasaskan kurikulum berperanan untuk melihat kaedah dan bahan pengajaran yang digunakan adalah bersesuaian. Ia dikatakan sah dan ada kebolehpercayaan di mana ia dikaitkan dengan isi kandungan serta dikatakan ada kebolehpercayaan apabila kita mengulangi ujian ke atas pelajar yang sama. Namun begitu CBM ini juga berperanan meningkatkan tahap pencapaian pelajar kerana ia diuji berdasarkan kurikulum, berkesan untuk mengetahui apa yang hendak dilihat dan murid mengetahui apa yang hendak dipelajari dan apa yang telah dikuasai. Di samping itu juga berkesan untuk merekod kemajuan pelajar.

5.2.2 Portfolio

Portfolio merupakan satu folder atau fail yang mengandungi bahan-bahan kutipan dikumpulkan untuk sesuatu tempoh bagi menggambarkan atau menjelaskan atau menerangkan perkembangan kognitif bagi si penyedianya tentang sesuatu tugasan yang pernah diarahkan. . Ia merupakan satu koleksi produk iaitu sampel kerja kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam satu fail. Koleksi produk ini menunjukkan apa yang telah dilakukan oleh pelajar. Inferens juga boleh dilakukan ke atas pelajar dari segi kebolehan seseorang pelajar pada masa depan. Contoh-contoh produk yang boleh dikumpulkan ialah tulisan, lukisan, lembaran kerja dan sebagainya.

5.2.3 Pemerhatian

Bagi kanak-kanak yang dikenalpasti mempunyai masalah pembelajaran, pemerhatian akan dilaksanakan untuk mengetahui situasi sebenar kanak-kanak tersebut secara semula jadi. Ia dilakukan secara tidak disedari supaya kanak-kanak tidak berpura-pura di mana fokus pemerhatian adalah untuk mengetahui tahap kefungsian kanak-kanak secara semula jadi tanpa diganggu oleh faktor-faktor lain. Penilaian boleh dibuat semasa individu terlibat dalam aktiviti-aktiviti hariannya seperti bermain, bekerja dalam kumpulan dan penglibatannya dalam aktiviti secara berkumpulan dan sebagainya. Bentuk ini sukar diinterpretasikan kerana ia hanya merekodkan apa yang dilihat sahaja dan orang lain mungkin memberikan interpretasi yang sama atau berbeza.

5.4       Response To Intervention (RTI)

Response To Intervention (RTI) digunakan untuk mengenalpasti pelajar bermasalah pembelajaran bagi menentukan intervensi awal. Ini dapat dicapai melalui penilaian respon pelajar mencapai matlamat. Terdapat 3 peringkat model RTI:
<!–[if !supportLists]–>1. <!–[endif]–>Penyaringan pelajar berisiko (screening for at-risk students)
<!–[if !supportLists]–>2. <!–[endif]–>Memantau tanggapan/ respon kepada pengajaran (monitoring of responsiveness to instruction)
<!–[if !supportLists]–>3. <!–[endif]–>Penentuan arah tindakan (determination of the course of action)

 

6.0     Cadangan Latihan Pendidikan Bagi Pelajar Bermasalah Pembelajaran

Pelajar bermasalah pembelajaran di dapati sukar menyusun maklumat, tidak cekap menggunakan pengetahuan sedia ada dan tidak dapat menggunakan strategi pembelajaran dengan berkesan. Terdapat 2 pendekatan dalam pengajaran pelajar bermasalah iaitu pengajaran secara langsung dan strategi pengajaran.

6.1      Pengajaran secara Langsung

Guru hendaklah mengajar secara langsung menurut urutan yang tersusun. Guru perlu menggunakan banyak contoh dan ilustrasi untuk menerangkan sesuatu konsep. Pengajaran hendaklah dibahagikan kepada langkah-langkah kecil dan disampaikan langkah demi langkah. Guru juga perlu sentiasa memberi maklum balas sama ada pelajar berjaya menguasai sesuatu butir maklumat. Aktiviti-aktiviti pembelajaran yang disusun hendaklah menarik dan melibatkan pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif.

6.2      Strategi Pengajaran 

Pelajar bermasalah pembelajaran tidak menggunakan strategi pembelajaran yang berkesan. Strategi pembelajaran didefinisikan sebagai pendekatan yang digunakan oleh seseorang dalam menghadapi sesuatu tugas pembelajaran. Ia melibatkan individu itu mengetahui apa yang harus dilakukan, bagaimana hendak dilakukan dan dapat mengesan sejauh mana dia berjaya melakukan. Antara strategi pembelajaran yang perlu diajar ialah membuat nota, menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membantu kefahaman, strategi mendengar, penyelesaian masalah dan sebagainya.

7.0      Pilihan Penempatan Pendidikan

Penempatan pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran pada masa kini merupakan salah satu isu yang paling berkontroversi. Tempat di mana seseorang pelajar bermasalah pendidikan itu menerima pembelajaran sebenarnya akan memberi kesan kepada sikap, pencapaian dan perkembangan sosial mereka. Terdapat beberapa pilihan penempatan yang biasanya ditawarkan kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran, antaranya:

7.1      Bilik Darjah Biasa

Pelajar bermasalah pembelajaran dan pelajar biasa di tempatkan di dalam bilik darjah yang sama. Pendekatan ini memerlukan perancangan yang teliti, kesediaan guru dan sistem sokongan yang lengkap. Hanya penempatan pelajar secara fizikal di dalam bilik darjah biasa tidak cukup untuk memastikan peningkatan pencapaian akademik dan penerimaan sosial pelajar bermasalah pembelajaran. Guru pendidikan khas akan bekerjasama dengan guru biasa dalam pengendalian kelas. Guru pendidikan khas dan guru biasa akan berkongsi tanggungjawab untuk mengajar.

7.2      Guru Pendidikan Khas sebagai Penasihat

Guru pendidikan khas sebagai penasihat membantu guru biasa dengan kaedah mengajar pelajar bermasalah pembelajaran. Dia membantu dalam penyusunan persekitaran fizikal, menyediakan atau mengadaptasi rancangan pengajran dan bahan serta membina prosedur penilaian dan pengredan pelajar bermasalah pembelajaran. Dia juga mengumpul maklumat, membuat pemerhatian dan mempermudahkan perbincangan tentang pengajaran pelajar bermasalah pembelajaran. Pengajaran secara langsung dijalankan oleh guru biasa.

7.3      Bilik Sumber 

Pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan di sekolah biasa akan pergi ke bilik sumber untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan bagi membantu mereka dalam pembelajaran. Contohnya, perkhidmatan penaksiran dan pengajaran pemulihan disediakan. Bilik sumber membolehkan pelajar bermasalah pembelajaran mendapat faedah daripada pengajaran yang spesifik, pada masa yang sama mengekalkan integrasi dengan kawan dan rakan sebaya di sekolah. Guru bilik sumber mestilah seorang yang mempunyai kecekapan yang tinggi dan dapat bekerjasama dengan guru biasa, membuat penaksiran pembelajaran dan tingkah laku, membina pengajaran individu serta bekerja secara efektif dengan ibu bapa dan keluarga. Program bilik sumber yang ditawarkan harus cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan tahap pembelajaran pelajar.

7.4      Bilik Darjah Berasingan

Dalam kelas berasingan, bilangan pelajar bermasalah pembelajaran adalah kecil (dicadangkan tidak melebihi 8 orang pelajar pada satu-satu masa). Pelajar dikumpulkan mengikut mereka yang mempunyai masalah pembelajaran sahajaatau dikumpulkan mengikut mereka yang terdiri daripada pelajar yang pelbagai jenis kategori ketidakupayaan. Biasanya, pelajar bermasalah pembelajaran, menghadapi gangguan emosi dan kerencatan mental ditempatkan dalam satu kelas. Kelas berasingan mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah mereka dapat mewujudkan konsep kendiri yang lebih baik berbanding pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam kelas biasa. Ini berlaku mungkin kerana persaingan di kelas biasa memerlukan beberapa kriteria yang tidak dapat dicapai oleh pelajar bermasalah pembelajaran. Sesetengah pelajar ini juga menunjukkan kemajuan yang lebih di kelas berasingan berbanding kelas biasa. Kelas berasingan menawarkan keadaan paling berkesan bagi pelajar bermasalah pembelajaran yang teruk dan serius yang memerlukan pengajaran yang lebih bertumpu.

8.0      KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam pembelajaran disebabkan oleh faktor psikologi dan faktor persekitaran. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi masalah dalam kognitif, akademik, sosial dan emosi serta tingkah laku.

Penaksiran pelajar bermasalah pembelajaran boleh lakukan melalui beberapa kaedah seperti RTI yang digunakan untuk mengenalpasti kewujudan masalah pembelajaran. Selain itu, penaksiran formal dan penaksiran tidak formal juga boleh digunakan. Terdapat beberapa penempatan yang ditawarkan serta kaedah pengajaran yang sesuai kepada pelajar bermasalah pembelajaran bagi memastikan pembelajaran mereka dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s